Thursday, September 15, 2016

Ujian Adalah Cara Allah Mencintai HambaNya


Ujian Adalah Cara Allah Mencintai HambaNya

Allah telah menyatakan dengan jelas di dalam Al-Quran bahawa DIA tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya. Allah mengetahui kita kuat dalam menghadapi ujianNya, oleh kerana itu Allah memberikan ujian itu kepada diri kita. Di sini kita dapat melihat betapa sayang dan kasihnya Allah kepada kita sebagai hambaNya.

Allah menguji seseorang bukan kerana Allah benci kepada kita tetapi percayalah Allah menguji kita karena DIA sangat kasih kepada kita. Cuma kita sebagai hambaNya, adakalanya tidak mampu bertahan dan bersabar dalam menghadapi ujianNya.

Hakikatnya saat ini, saat kita sedang mengecap bahagia, ada berjuta manusia di luar sana yang sedang dihujani ujian atau dihimpit pelbagai derita. Ada di kalangan manusia di luar sana yang saat ini sedang diuji dengan kehilangan orang tersayang. Tidak kurang juga ada manusia yang diuji apabila apa yang diingini dan diharapkan tidak terjadi dan diberi. “ Kenapa aku yang diuji ? “ “ Mengapa aku diuji seperti ini ?” “ Ujian ini sangat berat. Aku tak mampu…” Mungkin ini adalah antara persoalan dan keluhan yang meniti di bibir atau berlegar di fikiran kita sebagai seorang hamba saat dihimpit dengan sebuah ujian. Kadangkala tanpa sadar dan niat kita juga terlanjur marah pada DIA kerana menghujani kita dengan pelbagai ujian.

Tetapi, apabila kita menenangkan diri dan bermuhasabah kembali, tenyata sebenarnya dengan ujian yang diberi kita adalah hamba yang beruntung. Mengapa saya katakan begitu? Karena ujian hanyalah diberi oleh Allah kepada hamba-hambanya yang terpilih. Hamba-hambanya yang dikasihi dan disayangiNya.

Sebagai manusia biasa, kita pastinya tidak akan mampu menyangka kapankah ujian itu akan datang. Walau bagaimanapun, jika kita mengetahuinya, apalah kodrat kita sebagai seorang hamba yang kerdil dan penuh dosa untuk menolak ujian-ujian yang bakal menyapa itu.

Jika direnungkan kembali, kita semua pastinya pernah dan akan ditimpa ujian dari yang Maha Esa, tetapi saat ujian itu tiba, mampukah kita menjadi manusia yang bersyukur dengan ujian itu dan memandangnya sebagai hadiah pemberian Allah?


Semoga renungan ini bermanfaat.


EmoticonEmoticon